Monday, May 12, 2008

Getah Keping Getah Sekerap

Yang Getah Buku - getah Sekerap
Yang ni getak keping siap mesin....

Mesin Getah topi sawah


Mesin getah tuo, satu melicin satu lagi untuk bunganya...



Pokok getah tuo... sampai duo mangkuknyo.. copek mati pokok getah ni...


Dulu lain sekarang lain - bunyi lirik lagu SM Salim, ialah dulu lain sekarang lain, dulu awal 60an dan tahun 70an orang kampung yang menoreh getah untuk dijadikan getah keping. Sekarang getah sekerap-orang kampong sekarang panggil getah sekerap.

Memanglah benar kalau susu getah yang dipungut untuk dijadikan getah keping kerjanya lebih rumit, malah sekarang ini tak perlu lagi. Pada masa itu selalulah saya kekebun menemani emak dan ayah menoreh getah, lebih lebih lagi kalau hujung minggu atau pada masa cuti sekolah. Jauh kebun getah ayah lebih kurang 2 km, mengikut kiraan sekarang.Tiada jalan raya kekebun pada masa itu, abah akan pergi dahulu dan emak yang selalu datang kemudian akan menyusuri abah setelah kerja dirumah selesai, maka tinggal kak sulong kami, kak embong tinggal menjaga adik adik yang lain. Sejuknya pagi bagaikan menusuk tulang, abah akan menyusuri denai-denai, melalui kebun orang hingga sampai kekebun sendiri. Selalunya seluar basahan yang dipakai akan lencun dek embun pagi yang masih belum kering diatas daunan ditepi laluan.
Pada pukul 11.00 pagi abah akan berhenti menoreh,kerana lazimnya jika matahari telah agak tinggi naiknya, kalau ditoreh pokok getah lagi susunya agak kurang. Sambil menunggu susu getah habis menitis kedalam mangkok atau tempurung yang tersedia dipangkal pokok getah abah berhenti rehat seketika. Kalau emak ada bawa bekal ubi rebus atau keledek dan air kopi O abah akan memakannya dulu.

Bila matahari hampir tegak, abah,emak dan saya akan bersama memungut hasil susu getah dan memasukan kedalam baldi ayan atau tin biskut kering atau tin minyak tanah untuk dikumpulkan. Dulu tidak ada baldi plastik maka abah akan gunakan tin minyak tanah atau biskut. Lebih kurang 40 minit selesailah kerja memungut susu getah, dulu kami namakan "mengankit susu" . Bila telah selesai mengankit, abah akan mengangak susu dengan pengunakan pengandar. Pengandar selalunya dibuat dari kayu atau buluh yang tahan dan mudah lentur. Tin getah yang dipasang dengan tangkai dawai besi akan disangkutkan dihujung kedua belah pengandar dengan pencangkuk. Disinilah abah perlu mengimbangi berat susu getah, supaya tidak tertumpah atau jatuh. Bila saya telah remaja dan berupaya saya juga turut membantu abah memikul dengan pengandar susu getah itu. Pada waktu basah dalam bentuk cecair beratnya hampir 50 kati - sekarang lebih kurang 35 kilo.Abah perlu berhati-hati, maklumlah jalan denai yang dilalui bukannya rata, kalau tidak nanti tersandung tunggul kayu atau akar kayu, maka akan terjatuh dan hasil hari itu akan menjadi sia-sia.
Bila sampai dirumah, susu getah perlulah dibekukan untung dijadikan getah keping. Susu getah akan ditapis dan seterusnya dimasukan kedalam takung ayan berbentuk empat segi bujur. Dimasukan cuka getah, bila agak kenyal, saya dan abah akan melenyek atau mencanainya dengan tangan atau pencanai besi bulat. Ini dilakukan sehingga mencapai ketebalan yang sesuai buat di canai licin dengan mesin getah. Mula dicanai licin dengan mesin getah, mesin getah

bukannya bermotor yang dijana letrik atau minyak petrol. Tetapi canai besi itu digerakan mengunakan tangan - itulah teknoloji yang ada. Setelah dicanai licin, lalu dicanai bunga sekali sahaja sambil ditekap dengan cop yang juga dibuat dari ayan. Ini untuk dijadikan tanda getah keping itu abah yang punya. Setelah dicanai dengan mesin bunga getah keping yang masih basah itu disusun bertindih, agar nanti bentuknya tak banyak berubah dari segi saiz,dan dibiarkan semalaman.

Esoknya, barulah getah keping yang basah bertindih itu diasingkan dan dijemur bawah terik matahari diatas ampaian yang dibuat dari buluh. Tidaklah terkira baunya pada ketika itu, bau busuk dan hancingnya tiada tandingan. Tetapi baunya sudah menjadi begitu biasa buat saya dan juga adik-beradik.
Sehingga hari ini bau masam getah, tidak menjadi satu gangguan buat saya, cuma anak-anak bila kami pulang kekampong, bila hampir sahaja kereta kami dengan kilang Mardec, berhampiran pekan Kuala Pilah semuanya mengeluh bau busuk getah dari kilang. Tetapi selalu saya ingatkan anak-anak itu bau duit, getah yang memakmurkan negara selama ini, membuat tanah melayu ini terkenal keseluruh dunia kerana pengeluar getah mentah terbesar didunia.

Dulu ditahun 60an hingga 70an getah begitu diperlukan untuk menjadi bahan utama membuat tayar dan barangan getah yang lain. Namum harga getah pada tahun 80an dan 90an menjunam, kerana banyaknya minyak galian keluarkan diserata dunia. Permintaan untuk getah asli terus berkurangan kerana getah tiruan boleh dihasilkan dari petroleum. Maka terpinggirlah industri getah, sehingga harga jatuh pada paras 60 sen sekilo, jadi dengan galakan kerajaan ramailah raayat bertukar kepada menanam kelapa sawit.

Pada hari ini, permintaan untuk getah asli kembali ceria ini disebabkan harga minyak petrol yang melambung tinggi, hari ini sekilo getah boleh mencapai harga RM4.00 hingga RM5.00 sekilo. Jadi bagi orang kampong yang masih ada kebun getah ini bagaikan satu rahmat. Ringanlah beban orang kampong buat menyara hidup, lebih-lebih lagi kepada yang sudah berumur dan bersara.































No comments: