Agak lama tidak menulis,cerita banyak cuma kadang2 banyak benda yang mengalih perhatian.
Ini Gulai Masak Lemak Cili Api - Maman segar - Ini jenis maman air. .sekarang ada juga maman darat tetapi saiz agak kecil sikit. |
Sayur Maman - ada yang suka Maman Jeruk..tapi yang segar menjadi pilihan buat dimasak lemak cili api. |
Mengimbau kisah-kisah lama hidup dikampong memanglah satu kenangan yang tak dapat dinilai harganya. Maklumlah setiap detik zaman hanya dilalui sekali, selepas itu hanya kenangan sahaja dan tak mungkin dapat dijejak semula. Itu realiti - kebenaran. Bak kata penyair; semalam hanya kenangan, yang ada cuma hari ini-sekarang, besok belum tentu.
Macam tulah, dulu begitu mudah dengan sayuran-sayuran. Tak perlu ke pasar atau kedai untuk membelinya, apa jenis sayuran terdapat melata ditebing sungai, permatang sawah dan lembah. Petik sahaja, cabut sahaja, pungut sahaja percuma tak payah bayar.
Nilai gizinya paling top, maklumlah 'pastinya organik' tiada pencemaran racun serangga, baja kimia dan sebagainya.
Maka terkenang saya pada sayur maman dan sayur tangkis. Dulu emak selalu gulai sayur-sayur ini masak lemak cili api, rencahnya hanya ikan bilis. Itulah lauk itulah sayur, makanan berimbang yang terjamin khasiat dan keenakannya. Sayur maman ada bermacam jenis, maman bukit, maman pasir begitu juga dengan tangkis, bukan bulu tangkis, ada sayur tangkis darat dan tangkis air. Semuanya sedap dibuat sayur juga lauk untuk dimakan kami adik beradik.
Pada tahun 50an dan 60an, amat mudah mendapatkan sayur2 tersebut, malah melata banyaknya. Tetapi sudah menjadi adat kita manusia ini yang selalu ingin kelainan dan mencari jalan mudah. Dulu mana ada sawi, brokoli, salad dan sebagainya. Tetapi kini itulah yang dipandang orang. Sayur sayuran kampong seperti pucuk paku, maman dan tangkis dipandang kolot.
Maka terbiarlah si-maman dan si-tangkis, tidak lagi di endahkan oleh anak-anak kita. Salahnya kita juga - terlalu mengikut kemajuan yang tah apa-apa.
Kerana itulah hari ini banyaknya jenis penyakit yang dulu kita tak pernah dengar. Hanpir semua disebabkan sumber permakanan. Semuanya beracun, apa tidaknya daun sayur hijau segar tiada lubang kerana ulat pun tak nak makan. Yang bodohnya manusia juga - makan racun, ulat yang cerdik yang tahu menilai sayur mana yang baik dan tidak.
Tambahan lagi hari ini dengan teknoloji sayur jadi lebih segar, tahan lama dan baik hasilnya, tetapi tahukah kita sebabnya, selain baja yang diguna penuh racun, mengubah genetik tanaman pun menjadi kelebihan kita manusia hari ini. Banyak sayuran serta buah-buahan yang di "genetically modified" supaya tahan lama, hasil lebih banyak,tahan penyakit akibatnya lebih banyak penyakit menimpa manusia kerana merubah kejadian Allah SWT kerana nafsu hawaini manusia yang selalu hendak lebih.
Melalut juga saya jadinya, teringatkan arwah emak memasak gulai lemak cili api pucuk tangkis ketika saya masih anak-anak dahulu. Rasanya seakan ada rasa kelat-kelat petai.
Pada tahun baru cina yang lepas balik kekampong, cuti sekolah seminggu lamanya di Johor, jadi ada kesempatan balik kampong jenguk2 mak mertua. Ini saja emak yang saya ada sekarang, emak dan abah dah lama arwah. Kesian emak mertua saya ini, telah agak lanjut usianya 80 tahun lebih, tetapi masih tegap lagi. Tiada penyakit yang kronik, biasalah sihat orang tua - sekejap sihat sekejap tidak - idap-idapan kata orang tua di negeri sembilan.
Menjadi lumrah orang negeri, jarang sekali mahu tinggal dengan anak2, selagi daya tetap mahu berdikari. Rumah pusaka tetap dimahu dihuni,kalau boleh selagi ada hayat. Tak suka nak susahkan anak-anak katanya.
Saya dan isteri, memang sejak dari muda lagi, ketika emak dan abah masih ada, hampir tiap bulan saya pasti balik menjenguk mereka juga mertua. Bagi saya tiada beza, semuanya tetap ibu-bapa kita. Walaupun hidup berdagang jauh di selatan tanah air, namun tak pernah kami sekeluarga membiarkan ibu-bapa.
Malah sekarang lebih kerap saya pulang kekampong, kerana emak mertua yang sudah lanjut usia. Kesian dia, tinggal seorang diri dikampong.
Sebenarnya, saya berasa syukur kepada Allah SWT. Agamalah yang selalu memberi panduan dalam hidup, ibu-bapa adalah insan yang mesti malah wajib dikasihi, dibantu dalam segala segi. Malah tiap kali pulang menjenguk mertua dikampong bagaikan satu anugerah Allah SWT yang amat berharga, rahmah dan rahmat yang diberiNYA.
Bagi saya, melihat muka kedua ibu-bapa itu penuh rahmah, kalau dipandang dari sudut kasih sayang dan nikmat iman- melihat wajah ibu-bapa itu pahala imbalannya. Kadangkala, hilang letih memandu beratus kilometer bila melihat kecerian ibu-bapa bila melihat kita balik menjenguk mereka. Walau pun jauh dari kampong selalu saya ingatkan anak-anak yang tinggal di Seremban dan Kajang, menjenguk nenek mereka pada hujung minggu bila ada kelapangan.
Rugilah kalau kita tidak berkesempatan menceriakan mereka ketika mereka masih ada. Semoga saya dan isteri serta anak-anak beristiqomah dalam kebaktian kepada kedua ibu-bapa.
Nanti, Insya Allah bila giliran kita tua anak-anak kita pula akan mengasihi kita dengan sebenarnya.
No comments:
Post a Comment