Thursday, July 10, 2008

BASIKAL BALAK AYAM KAMPUNG



Saya dilahirkan sebelum merdeka, awal 50an. Keadaan Tanah Melayu masih lagi belum menentu. Kerajaan British kembali menjajah Tanah Melayu bila Jepun kalah perang. Walaupun masih kecil, tapi masih ingat akan kesusahan dan kekurangan dalam segala segi pada ketika itu. Arwah abah, sejak mudanya memang berjiwa berniaga. Cerita arwah Uwan, arwah abah lebih suka berniaga daripada pergi menoreh getah,walaupun harga getah agak mahal. Ketika bujang, pada zaman belum perang dunia pertama abah telah menjadi peraih ayam kampung. Berbekalkan basikal jenis Raleigh dengan bakul rotan bujur, arwah abah akan keliling kampung didalam mukim Ulu jempol membeli ayam orang-orang kampung untuk dijual di pekan Batu Kikir. Bila agak banyak ayam-ayam yang dibeli dari orang kampung, agak lumayanlah hasil yang didapati pada hari itu. Walaupun berat ayam yang dibawa dengan basikal yang dikayuh melalui jalan kampung ke pekan Batu Kikir dan kadang kala mengayuh basikal dengan bebanan ayam kampung hingga ke pekan Kuala Pilah. Masa itu mana ada jalan tar seperti sekarang. Dari kampung ke pekan Batu Kikir yang ada cuma lorong atau denai jalan kaki tanah merah yang berlumpur bila hujan. Batu Kikir ke Kuala Pilah jalan agak besar yang di tabur batu grewel, tidak ada jalan tar lagi.






Begitulah gigihnya arwah abah mencari rezeki membina hidup dizaman bujangnya, yang serba-serbi daif dan miskin. Walaupun ketika itu saya belum lahir kedunia ini, tetapi dapat saya rasakan betapa sukarnya hidup ketika itu, arwah abah begitu minat berniaga kata arwah Uwan. Arwah abah berkahwin dengan arwah emak sebelum perang Jepun terjadi. Pada awal tahun 40an, lahirlah anaknya yang pertama. Anak perempuan - itulah Kak Embong, yang sekarang masih lagi menetap di Felda.




Selepas Jepun kalah perang dan menyerah, minat arwah abah berniaga tidak pernah padam. Arwah Uwan yang mana arwah abah adalah satu-satunya anak yang Uwan ada, menyuruh arwah abah berhenti menjadi peraih ayam kampung. Kerana arwah abah anak tunggal, ramai dikalangan saudara memanggilnya "ungga" iaitu tunggal. Arwah uwan, memberi modal untuk abah membuka sebuah kedai runcit dikampong. Gerai kecil beratap rumbia dan berdinding buluh racik ditepi lorong jalan kampung, berhampiran dengan rumah di kampong Keru. Kalau dulu ada sebatang pokok jambu berhampiran gerai atau kedai kecil arwah abah. Walaupun keadaan Tanah Melayu masih gawat, arwah abah terus gigih berniaga dan selalulah dianiaya dan diganggu kumpulan bintang tiga pada saban masa.




Gigihnya arwah abah berniaga, tidak lama kemudian arwah abah berpindah berniaga dipekan kecil Padang Lebar. Kedai yang agak selesa, kedai sederet beratap rumbia juga tetapi dari papan. Agak tersusun dan lebih baik keadaannya. Itu dizaman British dimana diwujudkan pentadbiran "Local Council" atau lembaga tempatan yang sekarang ini dipanggil majlis tempatan. Komunis masih lagi bermaharajalela, pembunuhan, keganasan puak bintang tiga memang menakutkan. Arwah abah berniaga barangan runcit dan perniagaannya terus maju, malah pada masa keganasan komunis memuncak, darurat dikuat kuasakan. Malah sumber makanan seperti beras, tepung dan gula amat sukar didapati. Semuanya dikawal dan dicatu, kerana polisi penjajah British mempastikan tiada bahan makanan jatuh ketangan komunis.




Arwah emak pernah menceritakan, selepas Jepun kalah perang,tanah melayu diancam pemberontakan terhadap penjajah Inggeris yang kembali menjajah tanah Melayu. Tahun tahun selepas perang memang amat susah dan sukar. Dulu pada zaman Jepun kehidupan amat perit, menaman padi tidak dapat kerana sesuana perang dan gangguan tentera Jepun dan juga komunis. Pada tahun -tahun lepas perang pula tanah Melayu dalam darurat sepanjang masa kerana pengganas komunis terus bertindak ganas. Hendak pergi menoreh getah pun tidak boleh kerana gangguan pengganas komunis yang terus mensobotaj kegiatan ekonomi pada zaman penjajahan Inggeris. Malah pokok-pokok getah dirosakan oleh mereka, kerana dengan berbuat begitu penjajah tidak dapat hasil getah yang dijual orang kampung.




Kerana ketika permintaan terhadap getah asli memang tinggi, jadi harganya pun memang lumayan. Malah kadang kala bernilai 2 Malayan Dollar ketika itu sekati getah asli. Itu dulu pada tahun 50an, kalau dikira nilai semasa hampir RM12.00 sekilo. Dulu pun nilai duit dalam Dollar bukan ringgit.Hampir sama nilai dengan pound British ketika itu. Getah memang punca utama selain bijih timah yang membuat penjajah Inggeris begitu kuat mencengkam tanah Melayu. Maklumlah, di Eropah kereta baru dicipta dan tayar dari getah amat diperlukan.






Pada pasca penjajahan Jepun tamat semua keperluan beras terutamanya, mestilah dengan kupon yang diberi penjajah British. Ketika itu kedai arwah abah yang agak bagus perniagaannya dijadikan pusat simpanan dan agihan stok beras kawalan penjajah British dikawasan mukim Ulu Jempol. Walaupun perniagaan arwah abah terus meningkat, kemarahan kumpulan penganas bintang tiga terhadap arwah abah makin menjadi-jadi. Nyawa arwah abah sentiasa dalam ancaman, malah cubaan membunuh terus berlaku. Tetapi ketika itu, pekan kecil Padang lebar dikawal HC dan askar dari Fiji.




Yang sedihnya, gerombolan komunis ini juga turut dianggotai oleh mereka dari kawan-kawan berniaga arwah abah dari keturunan cina dan sekampung pula. Tetapi bila komunis lumpuh dan negara mendapat kemerdekaan, kawan-kawan arwah abah yang bersama parti komunis dulu, tidak pula didendami-nya. Saya masih ingat mereka ini, malah selepas merdeka ada diantara anak-anak mereka menjadi kawan baik saya pula disekolah diawal tahun 60an.




Saya anak ke-enam yang dilahirkan pada awal tahun 50an.


No comments: