Terkenang saya akan masakan tradisi orang dulu-dulu.Apa sahaja yang ada ketika tahun-tahun 60'an terutama sayuran atau tumbuhan yang yang terdapat disekeliling rumah atau dikebun boleh sahaja dijadikan masakan. Antara masakan gulai orang negeri yang paling sedap sehingga hari ini ialah masak gulai lemak labu. Tidak tergambar rasa sedap dan enaknya gulai lemak labu ini bila dijadikan sayuran dan dimakan dengan nasi, malah bertambah sedap lagi jika ada goreng ikan kering masin. Yang paling padan ialah ikan masin "takuk". Ikan masin ini memang begitu sinonim dengan masyarakat kampung di Negeri Sembilan sehingga hari ini. Kalau tak kenal ikan masin "takuk" boleh dipersoalkan tahunya dia tentang masak orang kampung di Negeri Sembilan. Tapi mungkin juga tidak tahu, lebih-lebih lagi anak-anak sekarang manalah lah mereka sukakan ikan masin.
Berbalik kepada gulai lemak labu, secara aslinya cara masak gulai lemak labu di Negeri Sembilan amat berbeza dengan cara masak di negeri lain. Bahan serta rencahnya amat ringkas, tetapi hasilnya memang tiada tolok bandingnya dari segi rasa dan lemaknya masak gulai lemak labu. Dulu arwah emak memang selalu memasak gulai lemak labu, air tangan arwah bila masak gulai ini tiada lah bandingannya. Itu lah perpatah melayu selalu mengingatkan kita " tiada yang lebih sedap, selain masakan dari seorang ibu". Orang dahulu mana ada resipi-resipi, kalau ada cuma petua serta cara memasak yang didapati dari nenek monyang yang terdahulu.
Inilah rupanya gulai lemak labu, kalau dimakan dengan ikan masin "takuk" goreng tidak sedar berpinggan-pinggan nasi yang dimakan.
Dulu masakan ini, begitu senang diketemukan bila musim kahwin, terutamanya bila tiba hari " kayu berakar". Maksudnya beberapa hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan maka semua saudara sesuku juga jiran-jiran sekampung akan berkumpul bergotong royong menyedia " tempat memasak" atau lebih dikenali oleh orang kampung di Negeri Sembilan dengan "pepaleh". Juga bagi menegakan balai untuk jamuan para jemputan dihari langsungnya perkahwinan.
Jadi bila tiba waktu makan tengahari, sudah pasti gulai lemak labu menjadi hidangan sayuran yang istimewa. Juga sudah tentu ada ikan masin "takuk" untuk dijadikan lauk dihari itu. Ikan masin "takuk" ini kadang kala dipanggil ikan masin "genting". Bukan genting highland tu... tetapi adalah ikan masin dari ikan selar kuning yang kecil itu. Bila dikeringkan dan dimasikan maka leher ikan akan mengecut seolah-olah ada ber "takuk" atau menjadi "genting" atau mengecil. Bukan juga atap genting..... Ini bahasa orang kampung di Negeri Sembilan bila dilihat ikan masin selar kuning ini lehernya hampir putus bila kering. Bagai gentingnya tali yang hampir hendak putus.
Begitu juga dengan gulai lemak pisang dan jantung pisang menjadi hidangan pilihan bila tiba hari bergotong royong atau " kayu berakar". Hari "kayu berakar" samalah dengan hari bergotong royong dikalangan orang kampung dimana mereka bersama dengan saudara sesuku juga jiran tertangga membina pelbagai kemudahan untuk majlis perkahwinan yang akan diadakan tidak lama lagi. Maka gulai serta hidangan yang sebeginilah menjadi juadah untuk hari gotong royong itu. Ini untuk tidak membebankan tuan rumah dengan belanja atau kos yang tinggi.
Tetapi hari ini sayangnya, hanya nama adat sahaja yang tinggal, praktikal dan "essence" adat perpatih tidak lagi di lakukan. Peranan "buapak" atau orang " tempat semenda" tidak banyak memainkan peranan. Malah hari ini, peranan ketua adat hanyalah jawatan glamor yang tak lagi melambangkan adat perpatih yang sebenarnya. Kemajuan serta taraf hidup serta ego jawatan melemahkan adat itu sendiri.
Begitulah aslinya makanan juga sayuran orang kampung di Negeri Sembilan, sehingga hari ini saya tidak pernah menyisihkan makanan ini dari hidup kami sekeluarga. Malah anak2 menantu pun gemar akan masakan gulai-gulai lemak cili api tradisi ini. Inilah kenangan bagaimana enak dan sedapnya masakan arwah emak ketika saya dan adik beradik masih anak2 lagi.
No comments:
Post a Comment