Sunday, April 27, 2008

SIPUT KIJING AYAM KAMPUNG

Inilah rupanya siput kijing


Kembali kita mengimbau kisah lama, kisah kehidupan raayat didekad awal kemerdekaan. Sekitar awal tahun 60an, masih disekolah rendah lagi, menoreh getah dan menanam padi itulah punca duit buat menyara hidup kami sekeluarga. Tepian sawah ada sebatang anak air kecil, dulu orang kampung di Negeri Sembilan memanggilnya "bondar". Lebih tepat lagi bondar empangan keladi. Punca airnya dari Sg Jempol dimana empangan tradisi di Simpang Sg Jelutung mengalirkan air ke bondar, bagi memudahkan air dimasukan kedalam sawah padi. Empangan tradisi di simpang sg jelutung ini telah lama ujud sejak lama dulu. Semua nya diusahakan oleh orang kampung secara gotong royong atau juga dikenali " mengyeraya". Empangan diatas sungai jempol ditebat dengan tanah liat dan batu lalu dipasak dengan buluh juga kayu keras atau teras. Air yang diempang, ini dialirkan kedalam bondar untuk keperluan mengairkan sawah sebelah darat- empangan ditempat tertentu aliran air bondar dinamakan empangan keladi. Dinamakan empangan keladi ini, kerana apabila tiba musim kesawah,air yang akan alirkan kesawah terpaksa dinaikan arasnya. Maka batang keladi dengan sedikit tanah lumpur yang melekat dicabut dan disusun rapi buat empangan sementara untuk menaikan aras air, bagi memudahkan air disalurkan kedalam sawah.
Bondar atau sungai kecil ini terlalu banyak jasanya kepada semua masyarakat kampung, itulah saja rupa teknoloji yang terjangkau buat orang kampung pada tahun awal kemerdekaan. Tetapi yang paling berkesan dihati kami ialah sumber makanan yang kami dapatkan dari bondar ini.
Sumber lauk utama ialah ikan air tawar seperti sembilang, putih, sebarau, lampam, keli, haruan dan puyu. Juga siput kijing yang seakan lokan atau kupang, tetapi siput kijing lebih besar dan enak dimakan. Sememang tiada pencemaran, sumber makanan anugerah tuhan ini terus membiak dan tiada tanda kepupusan, selagi tiada tangan manusia yang merosakan. Sekali sekala kami mencari kijing, hampir penuh satu tin minyak tanah - sekarang ini lebih kurang 20 kilo. Begitu mudah mengail sembilang, haruan dan sebarau.

Kalau ada kelapangan saya dan abah akan pergi memasang tajur -seakan joran pancing pendek yang diraut dari batang buluh aur, dipasang tali pancing dan mata kail berumpan cacing, ditepian sungai jempol berdekatang dengan sawah. Selalunya kami memasang tajur ketika matahari rembang petang sebelum waktu maghrib dengan mencucukan batang tajur ditepian tebing sungai. Nanti selepas Isyak saya dan abah akan meninjau tajur-tajur yang dipasang sekitar 100 joran berbekalkan lampu suluh "eveready" , parang dan karong ikan buluh untuk menuai hasil tajuran. Begitulah saban masa bila ada kelapangan, abah terus berusaha untuk mencari lauk ikan buat kami sekeluarga.

Lauk ayam bagaikan satu hidangan istimewa buat kami sekeluarga, itupun ayam kampung yang abah dan emak perlihara direban. Kalau hari itu abah sembelih ayam, tak terkira gembiranya kami adik-beradik, dapat makan lauk ayam - yang cuma dinikmati sekali -sekala, itu pun jika tiada penyakit ayam melanda - sampar ayam. Penyakit ayam tidak bahaya kepada manusia ketika itu, cumanya kita elakan dari memakannya bila ayam itu terkena jangkitan. Tidak seperti sekarang, ayam daging boleh dimakan dan dimasak bila-bila sahaja. Tetapi kini jika berlaku wabak sampar, ayam yang berpenyakit manusia dijangkiti melalui bawaan angin 'airbone" kita boleh mati, Avian Flu namanya.

Begitulah nikmat dan rona hidup di awal pasca kemerdekaan. Walaupun sekitaran kehidupan amat daif tetapi jiwa terasa bahagia. Alam sekeliling begitu damai, tiada pencemaran malah kehidupan begitu mesra dengan alam semula jadi.

Namun kemerdekaan yang indah diawal pascanya, setelah menjangkau lebih 50tahun, terasa terhimpit oleh ketidakadilan pemerintah, terasa jiwa dijajah dan didongengkan dengan kemajuan yang bukan untuk semua. Mendetik hati, jika tiada perubahan mungkin nanti anak-anak dan cucu kita akan kembali dizaman derita sebelum merdeka.


1 comment:

Anonymous said...

Betul tu tuan.. Jika dulu hidup tenteram walaupun tiada kemajuan..walaupun tiada kereta.
Pemikiran tidak serabut dihimpit dengan arus ekonomi.
Bahagia jika dibandingkan dengan masa sekarang.
Apalah artinya kemajuan jika hidup makin terhimpit..
Nilai duit makin susut.
Jika dulu langsung tidak risau walaupun duit hanya ada beberapa ringgit.
Hidup dikampung tanpa bebanan hutang.