Pada akhir tahun 50an, tiada banyak perubahan tetapi terasa ada rasa bebas dijiwa dan semangat ingin membangun diantara sesama bangsa dan seagama. Kak embong, kak angah sudah mula masuk sekolah agama raayat dikampung, bangunan sekolah ketika itu cantik lagi kandang kambing zaman sekarang. Sekolah rendah melayu, bertiang batu, berlantai dan berdinding papan. Tiada kipas, tiada apa-apa peralatan mengajar. Terlalu ringkas, tetapi jiwa dan semangat cikgu mengajar sungguh terpuji. Begitu dedikasi, bersama membangun jiwa bangsa yang baru merdeka. Saya dan abang, abah dimasukan ke- sekolah inggeris, standard type primary school- inggeris tulen, di Batu Kikir. Tak ramai anak orang melayu dihantar ke sekolah inggeris ini, tetapi abah agak terbuka dan mahu kami ke sekolah inggeris. Masih ramai emak bapak rasa kurang senang menghantar anak mereka ke sekolah inggeris ketika itu. Mungkin oleh sebab yuran bulanan yang dikenakan setiap bulan 3 malayan dollar. Makin meningkat darjah makin naik yuran sampai 5 malayan dollar, bila duduk ditahun 6 atau standard 6 pada masa itu. Kalau tak lulus standard 6, tak boleh naik Form 1 lower secondary, kena duduk tahap tu hingga lulus. Ramai rakan sekolah dari pelbagai kaum, semua co-education , maknanya campurlah lelaki perempuan. Teacher yang mengajar semua dengan penuh dedikasi, sekolah begitu seronok tiada istilah ponteng ketika itu, hampir semua anak-anak bangsa begitu bersungguh mencari ilmu. Semua nak jadi the best, all rounder, study ke, game dan apa juga aktiviti yang diadakan.
Mungkin latar belakang dari keperitan hidup sebelum merdeka dan dijana oleh jiwa yang baru merdeka hampir semua kami begitu ingin membaiki kehidupan. Ibu bapa mula sedar pentingnya pelajaran - kerana saya yakin cuma pelajaran dan keinginan menambah ilmu membolehkan kita merobah hidup dan rona bangsa.
Emak dan abah, masih lagi mengerjakan kebun dan menanam padi disawah. Emak akan ke sawah selepas kami semua pergi kesekolah, adik-adik kecil akan emak bawa bersama kebendang di tepian sawah. Selalunya, saya akan menolong emak kesawah pada sebelah petangnya. Pada petang yang lain kekebun menolong abah, menolong menebas dan pulang nanti memikul kayu getah tua mati buat menjadi bahan bakar didapur. Tiada dapur gas, tiada air paip.
No comments:
Post a Comment