Saturday, May 18, 2019

Gelugur dan Pasar Seremban.



Pasar Seremban sekitar tahun 50'an dan 60'an.


Ahad lepas,awal pagi lepas solat subuh terus pergi pasar besar Seremban. Pasar ini baru lagi terbakar dibahagian atas. Hanya bahagian lantai bawah saja yang masih ada lagi mereka yang berniaga. Kalau tak silap ini kali kedua Pasar Besar Seremban ini terbakar dulu sekitar tahun 80'an. Mencari sayur-sayuran menjadi  keutamaan bila ke pasar yang bagi saya  adalah ke mestian  ada pada waktu makan. Malangnya sekarang ini, anak2 kurang makan sayur.

Pasar Besar Seremban dulu asal tapaknya  terletak diatas tanah..yang kini terdiri bank CIMB juga bangunan komersil 3 tingkat yang juga pun sudah lama usianya.  Pasar Seremban hanya bangunan yang didirikan dari batu dan papan dan beratap zink. Itulah satu2nya pasar yang terdapat di Seremban. Pada tahun 50'an dan awal 60'an Pasar Seremban memang sibuk dan sempit. Namun Pasar Seremban ini menjadi tumpuan orang ramai dan semua kaum yang berbilang bangsa dan keturunan berbelanja disini untuk membeli keperluan dapur, daging, ayam, ikan serta barangan basah yang lain.

Para peniaga Pasar Seremban di monopoli oleh bangsa Cina, namun ada juga orang Melayu yang dari suku Minang, Mendailing juga bangsa India. Suku kaum dari Bangsa Melayu selalunya menjual hasil kampong dihasilkan oleh orang2 kampong sekitar pinggir Bandar Seremban. 

Pada tahun2 60'an saya selalu di bawa oleh arwah abah kesini untuk membeli barangan basah jika ke Seremban. Walaupun kami tinggal di Ulu Jempol, daerah Kuala Pilah, arwah abah yang mempunyai kereta sewa, selalunya akan mengajak saya mengikuti dia ke Seremban bila ada penumpang yang mahu kesana.

Masih teringat arwah abah akan singgah di Pasar Seremban membeli barangan basah sebelum pulang ke Ulu Jempol atau Kg Padang Lebar yang terletak dibawah pentadbiran Daerah Kuala Pilah. Ikan tenggiri, kembong dan ikan merah menjadi pilihan arwah abah untuk dimakan oleh kami sekeluarga.  Jangan pula anggap ini ikan2 mewah, harga ketika itu memang murah sekitar Dollar Malaya RM2 hingga RM5 sekati. Jauh lebih murah dari Pasar Kuala Pilah yang terkenal dengan harga barangan yang mahal. Sehingga kini pun Pasar Kuala Pilah terkenal mahal barang2 yang dijual.. Yang murah emas sahaja di Kuala Pilah.

Berbalik kepada suasana Pasar Seremban pada tahun-tahun  itu memang banyak pengalaman yang ditimba dan barang jualan yang bermacam jenis dan rupa, Pada masa itu barang2 basah yang dijual terlalu banyak pilhan, dari benda2 yang biasa sehingga jualan barangan yang pelik dan mengelikan. 



Terutama jualan barangan yang halal atau haram dimakan agak payah di kenal pasti. Itu sebab arwah abah hanya membeli bahan makanan hasil laut atau sungai sahaja. Masa itu ayam2 adalah dari hasil ternakan orang2 kampong melayu dipinggir Bandar Seremban juga dari ayam2 yang diternak oleh penduduk kampong cina dari Rasah, Temiang, Mambau dan Rahang sahaja.

Yang uniknya Pasar Seremban ketika itu menjual bahan2 daging dari pelbagai jenis binatang,yang di kira eksotik  yang digemari oleh mereka yang bukan orang Islam seperti, labi-labi, biawak, ular, babi hutan , tikus mondok  juga landak, daging rusa liar, pelanduk dan macam2 lagi lah. Bagi yang tidak biasa dengan bahan daging dari binatang liar yang pasti haram dimakan akan termuntah melihat daging biawak,ular dan tikus mondok.


Kalau di Pasar Besar Seremban, masih ada juga sayuran2 kampong dijual. Kalau sayur kampong seperti daun gelugor, maman, pucuk paku, keladi sulur, pegaga, pucuk ubi, pucuk keledek, terung telunjuk, nangka muda malah rebung pun masih ada dijual. 


Pohon Gelugor .


Selalunya dijual oleh orang Mendailing (Yang Islam di namakan Mendailing/ Yang kafir dinamakan Batak)*.Ramai anak2 tak tahu bezanya. Asal mereka dari sekitaran Danau Toba di Sumatera Tengah dan Sumatera Timur. Kalau di Malaysia, ramai Mendailing tinggal di Negeri Sembilan dan di Hulu Langat, Kelang, dan Beranang.  Mereka pakar menanam sayuran kampong dan pandai berjual beli. 

Suku Mendailing ini ramai berdekatan tinggal dengan mereka dari suku2 Minangkabau..macam kitalah yang asal nenek moyang kita dari Sumatera Tengah dan Sumatera barat. Kita yang telah lama keberadaan di Negeri Sembilan berbahagi kepada suku2 yang dua belas. Yang mana suku2 yang dua belas ini mendatangi Tanah Semenanjung jauh lebih awal - seumpama berpindah membuka tanah baru, kerana Semenanjung ini sebahagian dari tanah daratan Nusantara. ( Bab Tanah Nusantara ini pun ramai anak2   kita tidak tahu- nantilah kalau ada masa terluang kita boleh cerita lagi bab salasilah melayu ini).

Berbalik kepada cerita mencari sayur kampong, ikan dan daging di Pasar Besar Seremban ini, ingat pulak akan masa dulu2 sekitar tahun2 60'an dan 70'an. Pasar Besar Seremban dekat dengan pasar karat yang diadakan pada setiap hari Ahad. Bukan apa , pasar karat ni ada sebab menariknya. 

Yang nanti dengan melihat barang2 yang dipamirkan dapat mengimbau masa lampau. Memanglah pasar karat hanya ramai dikunjungi orang2 lama sahaja. Pelbagai barang yang dipamirkan, barang lama, barang2 tua macam saya dan ada juga barang terpakai yang lain. Orang sekarang tak panggil "terpakai" atau "second hand" lagi. Sekarang di panggil "Pre Loved". Canggih bahasanya, tapi boleh keliru juga. Kalau dalam bahasa inggris pre loved - pre owned or second hand. Jadi tak da beza pun. Tapi bunyi sedap sikit - tak lah nampak second hand sangat.kan atau terpakai, .pandai orang sekarang.

Tidaklah saya nak cerita tentang barang-barang yang dijual dipasar karat. Memang banyak cerita disebalik setiap barang2 "pre-loved" yang dijual. Apa yang saya nak cerita ialah tentang masakan gulai lemak cili api. Umum tahu itu cara masakan orang negeri yang tak boleh tak ada. Saya juga, itulah masakan yang menjadi pilihan utama. Kalau setakat masakan moden dan cara orang muda masak sekarang ni saya tak heran pun malah kata orang negeri "tak tokoliur den do". 
Buah Gelugur yang cukup masak untuk dihiris untuk dijadikan bahan gulai lomak atau dikering menjadi Asam Keping.

Kali ini nak cerita masakan yang dijodohkan dengan daun-daunan juga buah-buahan. Yang mana keduanya dari pokok yang sama dan dijadikan jodoh memasak gulai ikan atau daging yang disalaikan. Bagi buah gelugur yang sudah matang dihiris nipis untuk di jadikan "asam keping" atau " asam kering" yang dugunakan dalam masakan-masakan di Negeri Sembilan.
Asam Keping pun dah mahal.

Itulah Gulai Ikan masak lemak cili api dengan rencah daun gelugor  atau dengan rencah buah gelugor. Tahun2 60;an pokok gelugor besar2 macam pokok durian, selalu didapati dalam kawasan kebun getah.


*sumber/https://lembagaadatmandailingmalaysia.weebly.com/kuala-lumpur-siapa-punya.html

No comments: