Terkenang pula akan pokok mengkuang yang jarang, malah susah sekali kita ketemukan masa ini. Agaknya sekarang entah ada entah tidak lagi,mungkin masih terdapat dinegeri-negeri sebelah pantai timur. Dulu dikampung mengkuang berada dimana-mana disudut lopak sawah atau ditanjung-tanjung anak air dilereng-lerang bukit. Dimana ada kawasan lembab dan air mengalir di situlah pokok mengkuang hidup subur meliar.
Dahulu, cuma tikar mengkuang menjadi alas tempat duduk serta tempat merehatkan badan setelah seharian bekerja dikebun atau sawah. Dahulu mana ada kerusi set - orang sekarang panggil sofa ketika itu. Kalau diserambi rumah yang ada cuma sehelai dua tikar mengkuang yang dijadikan alas duduk. Setelah itu muncul pula tikar getah yang mula di-impot dari Singapura, maka tikar mengkuang mula tergugat peranannya.
Bezanya, tikar getah senang...senang membeli sahaja, tak payah dianyam seperti tikar mengkuang. Teringat saya arwah emak juga uwan, bagaimana tikar mengkuang dianyam dari mula memilih daun mengkuang yang elok,lalu dikumpulkan seterus dilayur - atau diganggang atas bara api untuk melembutkannya. Selepas itu diraut dengan membuang duri halus ditepi daun. Seterusnya diraut lagi bagi melembutkan urat-urat daun mengkuang-kemudian direbus dengan asam keping dengan sedikit garam kasar. Seterusnya dijemur, ada juga yang diwarnakan dengan meremdam daun mengkuang yang diraut, atau disisir dengan perwarna. Selalunya di bubuh sedikit asam keping agar warna tidak mudah luntur. Kemudian dijemur dibawah terik matahari,setelah kering diraut dan disisir agar daun mengkuang yang telah dikecilkan dengan pisau jangka digulung dalam gugusan sebelum di-anyam untuk dijadikan tikar. Setelah ditentukan jenis corak yang akan dibentuk mulalah aktiviti menganyam dimulakan, selalunya sebelah petang atau selapas zohor jika tidak kesawah. Jika daun mengkuang yang cantik selalunya dijadikan tikar hamparan yang digunakan untuk majlis-majlis tertentu sahaja. Jika mutu daun mengkuang kurang elok dijadikan tikar basahan yang digunakan untuk alas tidur juga alas tempat duduk bila menikmati hidangan makanan.
Maklumlah dahulu mana ada meja makan, semuanya menikmati makanan tengah hari atau malam sambil bersila diatas tikar mengkuang. Anak-anak sekarang tidak merasa tidur diatas tikar mengkuang. Tentu susah nak lelapkan mata, apa tidaknya tikar mengkuang yang nipis tiada kelembutan buat memberi selesa kepada mereka. Bagi saya itulah satu kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan. Bagi kami dahulu, itulah yang ada, baik nya ada tikar mengkuang kalau tidak tidur diatas lantai sahaja.
Sebenarnya tidur beralaskan tikar mengkuang, ada kesan kebaikan kepada tubuh badan. Ayaman tikar yang bersilang-seli, memberikan urutan halus kepada tubuh badan. Ada kesan terapeutik -mengkuang itu adalah daun - yang ada nilai herba yang membantu menyihatkan badan.
Inilah pokok mengkuang yang amat payah diketemukan sekarang ini.Mungkin hampir pupus sekarang ini.
Arwah emah dibantu arwah uwan membuat tikar mengkuang untuk dibuat basahan atau untuk kegunaan harian. Tikar menjadi penting untuk dijadikan alas ketika waktu makan lebih-lebih lagi kami adik beradik memang ramai kalau ada meja pun sudah pasti tidak mencukupi. Tikar mengkuanglah yang digunakan sehingga lusuh, sampai berambu-ramba dihujung tikar barulah diganti.
Ini tikar hamparan yang bercorak, selalu dihamparkan diserambi rumah untuk majlis-majlis tertentu atau ketika kenduri-kendara.
Dahulu tikar memang penting, setiap rumah pasti ada barang sehelai dua jenis yang tikar hamparan yang ada corak. Dikira malu tuan rumah jika tiada tikar hamparan untuk dijadikan alas duduk bila tetamu datang bertandang. Arwah emak, memang selalu mendapatkan corak yang baik dan kemas untuk dibeli dan disimpan. Menjadi satu kemestian pada arwah emak perlunya tikar hamparan bercorak ini dikumpulkan, maklumlah ramainya anak perempuan yang satu hari nanti akan dikahwinkan. Maka tikar jenis ini amat penting sebagai hamparan alas duduk tetamu yang datang nanti.
Dulu ada seorang mak cik yang datang dari Kuala Sg Baru Melaka, saban bulan akan datang kekampong kami berjaja tikar hamparan mengkuang yang bercorak cantik, halus dan dalam pelbagai corak serta warna. Mak Cik ini, amat rapat dengan arwah emak. Jadi hampir tiap kali mak cik ini datang sudah pasti dia akan bermalam dirumah kami untuk satu hingga tiga malam.Saya telah lupa namanya yang pasti saya amat kagum dengan kesungguhan mak cik yang datang dari jauh berjaja tikar sebagai sumber rezeki. Juga menjadi satu tauladan bagi saya, walaupun datang dari jauh dan saban hari berjalan kaki keliling kampung sambil menjunjung tikar-tikar dikepala bila tiba waktu solat,mereka pasti berhenti solat dalam apa juga keadaan pun. Begitu tulus dan ikhlas dalam mencari rezeki yang halal. Tidak seperti setengah dari orang kita sekarang ini,malas berusaha, kerja memilih malah lebih suka meminta-minta sahaja.
Kerja susah sedikit terus berhenti tanpa memikirkan hari-hari yang mendatang yang penuh cabaran dan ranjau.
Tetapi sekarang tiada siapa yang peduli dengan tikar hamparan mengkuang lagi, malah dikira hina jika hanya tikar mengkuang dijadikan alas tempat duduk. Sekurangnya mesti karpet atau permaidani, juga tikar buluh dari negeri cina. Itu pun bukan untuk dijadikan tempat alas duduk tetapi alas untuk diletakan meja atau kerusi sofa diatasnya.
Tikar mengkuang, hanya dijadikan barang hiasan bagi yang ada rasa nostalgia dengan diletakan dalam frem lalu digantung didinding. Jauh dari asal tujuan dan guna tikar mengkuang. Tiada lagi kebaikan terapeutik yang didapatkan dari tidur beralaskan tikar mengkuang.
No comments:
Post a Comment