Hari rasa rajin pulak nak melalut lagi. Pokok Rumbia Lempeng Sagu, ganjil bunyi nya sikit. Kenapa tak pokok sagu dan lempeng sagu. Itulah indahnya bila orang melayu berbahasa - pokok rumbia dan pokok sagu sebenarnya sama sahaja. Jika pokok sagu masih hidup menghijau dipanggil pokok rumbia kerana nanti dapatlah atap yang dibuat dari daunnya mendapat nama yang sedap didengar. Takkan nak dinamakan atap sagu!! tentu tak kena gaya! Yang kita kenali hanya atap rumbia atau remia.
Pokok rumbia atau remia sebenar banyak gunanya bagi orang dulu2. Pokok rumbia yang selalu tumbuh melata dihujung jenjang sawah dan dipinggir sungai memberi pelbagai manafaat kepada orang2 kampong pada masa dahulu baik sebelum dan selepas tahun awal kemerdekaan. Daun rumbia begitu berharga untuk di-anyam menjadikannya atap rumbia. Inilah atap yang digunakan buat melindungi serta berteduh dari terik matahari dan hujan. Hampir semua rumah ketika itu beratapkan - atap rumbia.
Meng-anyam daun rumbia untuk dijadikan atap bukanlah kerja mudah, mesti pandai bukan sahaja meng-anyamnya tetapi menyediakan sumber asas yang lain seperti "belebas", "pengkhapit" dan tali rotan. Selalunya pokok rumbia ditebang dan daun yang tua lagi cantik diambil buat dijadikan atap rumbia. Isi pokok rumbia dinamakan sebagai sagu pula dimana diambil buat dijadikan makanan ternakan seperti itik, ayam dan kerbau. Kulit pokok rumbia pula diambil untuk dijadikan lantai pangkin diruang membasuh bahan makanan dan mencuci pingan mangkuk selepas digunakan.
Isi sagu yang dicincang halus dijadikan bahan makanan untuk ternakan, malah ada yang diletakan begitu sahaja dikawasan reban itik atau ayam. Ada ketikanya sagu juga dibuat lempeng dari tepungnya. Sagu yang dijadikan tepung sagu menjadi bahan makanan yang sedap.
Untuk membuat lempeng, tunggul sagu yang baru ditebang ditumbuk sagu yang ada didalam tunggul dengan mengunakan lesung tangan- inilah cara yang paling cepat. Lalu sagu yang telah halus ditumbuk menjadi tepong, kemudian diperah mengunakan kain putih bersih bagi mengasingkan kandungan air dan sagu. . Inilah rupanya pokok rumbia atau remia yang tumbuh melata di hujung jenjang atau dibahagian sawah yang hampir dengan tangaair.
Yang paling selalu digunakan ialah daun pokok rumbia yang dijadikan atap rumah. Dahulu, atap rumah memang selalu diganti, kerana dia hanya daun yang di-anyam, dalam tempoh 6 bulan hingga setahun atap rumbia mesti ditukar dengan yang baru. Kebocoran atap rumah akan berlaku bila atap rumbia mula mengering dan reput. Jadi pengantian atap rumbia memang dilakukan sepanjang tahun bila atap mula bocor.
Dulu rumah arwah Uwan di Kg Keru dan rumah atok sebelah emak di Kg Tapak juga beratap rumbia. Sebenarnya atap rumbia agak tahan lama, malah atap rumbia memberikan lindungan dari terik matahari dan sentiasa rasa nyaman tidak berbahang seperti atap zink. Bila malam sungguh sejuk dan terasa selesa bila tidur dirumah yang beratapkan daun rumbia.
Inilah atap rumbia yang siap untuk digunakan sebagai atap rumah dizaman dahulu. Malah kini atap rumbia bernilai untuk dijadikan bahan hiasan juga sebagai " awning" atau "shade" kabana di restoren melayu didalam bandar.
Yang dibawah ini ramai orang sekarang tidak mengenalinya. Inilah lempeng sagu yang sedap dimakan dan dijadikan sarapan minum pagi dan petang.
Begitulah banyaknya jasa pokok rumbia dimana hampir semua pokoknya serta daunnya dan bantangnya menjadi berguna kepada orang2 kampong masa itu.Lempeng sagu tak sama dengan sagu mata ikan. Lempeng lebih organik tanpa sebarang tambahan serta perisa. Tetapi hari ini mana nak cari lempeng sagu. Dulu2 saya dan arwah emak akan menumbuk halus sagu yang ada dalam tunggul sagu yang baru ditebang untuk dijadikan tepung lempeng. Arwah emak memang pandai membuat lempeng dari sagu. Teringat arwah emak ada menceritakan, dahulu semasa perang dunia,bila Jepun menjajah tanah air tercinta, lemping sagulah menjadi bahan makanan. Ini disebabkan tiadanya sumber padi yang cukup untuk dijadikan beras. Maklumlah bila padi dikepok dirampas Jepun, kemudian bila komunis bermaharajalela orang kampong menjadi mangsa bila semua sumber mentah seperti beras, gula dan tepong tidak mencukupi- maka tepung sagu diguna pakai untuk dibuat lempeng bagi mengisi perut.
1 comment:
Terima kaseh dengan info pasal rumbia tu. Baru la saya tahu
Post a Comment