Terkenang juga dengan durian pusaka dikampung saya yang telah agak lama tidak ada kesempatan menjejakan kaki.Arwah abah anak tunggal, tidak ada adik beradik kandung cuma saudara sepupu juga dan saudara se-uwan yang ada. Jadi arwah abah digelar "ungga" iaitu tunggal oleh anak2 buah saudaranya. Dulu arwah abah dengan emaknya arwah uwan Peah duduk diKampung Keru. Saya pun ada juga merasa duduk dirumah lama di Kg Keru semasa masih kecil lagi. Seingat saya didalam kampung yang agak luas ini ditanam pelbagai jenis pokok buah-buahan dan yang paling banyak ditanam adalah pokok durian kampung. Pelbagai spesis yang ada, durian tembaga, durian jantung dan banyak lagi.
Semasa saya masih remaja ada juga kesempatan menunggu durian bila tiba musim gugurnya. Maklumlah ketika itu durian kampung sahaja yang banyak ditanam maka harganya agak lumayan. Lebih lagi bila tiba musim durian, kebanyakan orang kampung akan mendirikan pondok kecil yang dijadikan tempat menunggu durian gugur. Musim durian bagaikan satu rahmah tuhan kerana orang kampung akan mendapat hasil yang agak lumayan hasil dari jualan durian kepada peraih-peraih. Kerana pulangan yang lumayan dan sebab harga yang mahal pokok durian yang tidak dijaga dan di tunggu sudah tentukan dikebas oleh orang lain.
Inilah adalah durian kampung yang masih ada lagi, mungkin tak banyak dan kalau ada pun telah menjadi saka atau sudah tua dan tinggi. Sekarang tidak lagi ditanam kerana hasil yang dikeluarkan agak lambat. Bezanya durian kampung dari segi rasa dan tahan buahnya memanglah tiada bandingan dengan durian kahwin atau sekarang ini dipanggil durian siam dengan pelbagai kelas, ada durian D19, D24 dan macam-macam lagi.
Durian kampung dianggap lebih asli dan lemak rasanya. Memang jauh lebih sedap jika dibandingkan dengan durian siam kelas DD itu.Buat apa sahaja dengan durian kampung akan menghasilkan rasa yang sungguh asli dan sedap. Dulu arwah emak selalu membuat kueh wajid dengan durian sungguh sedap rasanya. Yang paling saya terkenang ialah durian dibuat kerabu santan mentah dengan dihiriskan bawang besar serta racikan lada api. Ini sudah cukup dijadikan lauk yang dimakan dengan nasi panas. Kalau tiba musim durian inilah kerabu durian santan mentah yang paling saya suka hasil air tangan arwah emak. Arwah emak begitu pandai mengadun bahan serta rencahnya sehingga kuah santan mentah itu pun akan saya hirup.
Agak lama juga saya tidak lagi menikmati kerabu durian santan mentah ini.... sejak arwah emak tiada lagi. Satu lagi masakan kerabu santan mentah yang paling sedap yang disediakan arwah emak ialah kerabu santan mentah terung cina.... ini pun memang asli hasil air tangan arwah emak....memang sedap sungguh. Ini pun telah agak lama saya tidak merasa.
Ini durian kampung yang isinya warna kekuningan, ulas bagai kucing tidur,tebal dan sungguh sedap rasanya. Kalau dibuat tempoyak lagi sedap.
Tempoyak pun adalah satu kudapan yang paling terkenal dikalangan orang2 kampung dinegeri sembilan.Dari segi mutu dan tahan lamanya tempoyak yang dibuat dari durian kampung jauh lebih baik dan asli juga sedap rasanya. Sebenarnya tempoyak yang dibuat dari durian kahwin memang berbeza, baik dari segi rasa serta mutunya malah rupanya. Tempoyak yang dibuat dari durian kahwin cepat rosak dan warna asal akan menjadi pudar dan hitam jika disimpan terlalu lama. Tetapi berbeza pula jika tempoyak dibuat dari durian kampung, jika betul cara buatnya boleh tahan lebih dari setahun tanpa hilang rasa dan warnanya.
Orang kampung di Negeri Sembilan mengunakan tempoyak dalam banyak jenis makanan. Sekarang sibuk orang memperkatakan ikan patin masak tempoyak, orang Negeri Sembilan telah lama membuatnya bukan dengan ikan patin sahaja, malah dengan ikan baung,tapah,sembilang, keli dan banyak lagi. Yang pastinya, tempoyak dijadikan pembuka selera bila dibuat sambal mentah dengan campuran cili api ditumbuk kasar yang juga mentah dengan garam kasar ditumbuk lalu digaul dengan tempoyak yang ditelah diperam lama... berair mata jadinya namun jari terus menjamah kerana sedapnya sambal mentah tempoyak.
Gulai tempoyak dengan daun kayu telah lama menjadi makanan sayur tradisi orang2 kampung di Negeri Sembilan. Sememang masakan ini adalah "trademark" orang Negeri Sembilan. Dulu semasa arwah emak masih ada gulai tempoyak asli ini menjadi idaman saya bila tiba musim durian. Arwah emak bagitu pakar dalam menyediakan gulai tempoyak daun kayu ini. Yang menjadi bahan utama sudah pasti tempoyak, santan kelapa tua, cili api, kunyit segar, daun kunyit dan pelbagai jenis daun atau pucuk seperti, pucuk ubi,pucuk betik,keledek,pucuk lada, pucuk daun ati-ati, hirisan daun pucuk gelugur, petai dan banyak lagi.
Inilah kerabu santan mentah durian, yang selalunya dibuat dari buah durian yang baru gugur.
Malah sudah cukup gulai tempoyak daun kayu menjadi hidangan utama bersama nasi panas....memang sedap sungguh.
No comments:
Post a Comment