Dulu-dulu menjadi biasa, banyaknya lintah disawah kerana itulah tempat semula jadinya dan tidaklah menjadi geli bila digigitnya. Ini gambar lintah jenis yang agak besar juga, bila kenyang menghisap boleh membesar sampai dua jari lebarnya. Banyak jugalah darah yang dihisap hampir 50 militer sekali hisap. Yang ajaibnya bila lintah kekeyangan dia akan jatuh sendiri. Begitupun perangai lintah bila dah kenyang dan penuh perut dengan darah secara semulajadi dia melepaskan gigitannya. Orang kampung masa dahulu, memanggilnya lintah kerbau, maklumlah banyaknya kerbau berkubang disawah bila musim menuai padi telah selesai. Itulah kerbau juga dijadikan sebab banyaknya lintah, tetapi bagi kerbau-kerbau saat berkubang didalam lumpur sawah itulah masa istirehat yang paling diperlukan. Lintah menjadi sahabat setia kerbau.Selalunya dibiarkan sahaja lintah-lintah besar ini menghisap darahnya. Kadang kita nampak bergayutan lintah-lintah dileher kerbau.
Orang dulu-dulu pun begitu, tanya mereka yang atoknya masih ada, kalau digigit lintah dibiarkan saja, yang faham akan kebaikannya. Sebenarnya lintah menghisap darah-darah yang kotor pada saluran darah sahaja. Bagai membekam keluar darah-darah yang kotor yang selalu diamalkan kebanyakan orang dulu dan sekarang.
Begitulah banyak nya lintah disawah pada masa dahulu, sudah menjadi kehendak alam. Sawah-kerbau dan lintah merupakan suatu kebiasaan orang-orang kampung pada masa dahulu. Malah lintah dijadikan petanda mutu air dalam sawah. Kerana sifat lintah yang sensitif terhadap sekitaran dan air dikelilingnya. Jika tiada lintah langsung , pesawah mula risau mungkin air yang ada disawah dicemari racun seperti tuba atau mungkin juga ada rumpai beracun yang melata.
Lintah dan kerbau bagai kawan yang setia, malah begitu disenangi orang tua-tua. Malah jika ada kudis yang payah sembuh dibiarkan lintah menghisap darah kotor dan nanah. Selepas itu cepatlah sembuhnya kudis, kerana kotoran darah dihisap lintah.
Walaupun masa berubah, ramai orang jijik malah geli-geleman dengan lintah dengan melihatnya sahaja. Kalau kena gigit menjerit dan melaung jadinya - lebih-lebih lagi kalau kaum wanita mahu histeria digigit lintah. Sekitar tahun 60an dan 70an masih banyak tanah sawah yang dijadikan atau dikerjakan, tetapi lintah semakin berkurangan dengan kurangnya kerbau disawah. Lintah hampir pupus, kemajuan dalam memodenkan cara menanam padi, meminggirkan haiwan lintah dengan manusia. Tali air moden yang ber-arus laju tidak memungkin lintah dapat bergantung didaun keladi atau mengsiang yang melata seperti dulu. Yang lebih parah lagi, racun rumpai yang digunakan bagi menghapuskan tumbuhan melata didalam sawah mencemarkan air-sawah. Maka kerana kemajuan dan sikap manusia jugalah lintah makin pupus.
Hari ini lintah begitu berharga, maka hebohlah seluruh tanah air orang menternak lintah. Kerana baru tahu lintah begitu baik untuk perubatan,kesihatan dan sebagai bahan kosmetik. Maka lintah menjadi haiwan berharga dan berguna kepada manusia. Barulah orang sekarang tahu tinggi nilainya lintah yang dipandang jijik dan geli itu.
Atok dan Uwan dah lama tahu. Dulu lagi.... lama dah.
No comments:
Post a Comment