Sunday, August 23, 2009

Bulan Puasa - Bulan Ramadhan tahun 60'an

Terkenang pula bila datang bulan Ramadhan teringat bagaimana bulan yang mulia ini disambut ketika itu. Kalau nak di bandingkan dengan cara orang sekarang menyambut bulan puasa memang jauh sangatlah bezanya. Sekarang ini zaman dah moden, banyak cara lama tak lagi dipakai orang.
Dulu ditahun-tahun 60'an bulan ramadhan disambut meriah sekali, malah bulan puasa bagai satu permulaan hari yang membawa kami ke bulan syawal. Malah berpuasa menjadi satu ibadah pasti untuk menentukan hari raya tahun ini dapat disambut dengan penuh gembira dan keriangan.

Membakar lemang di akhir Sya'aban, 1-2 hari sebelum Ramadhan menjadi kemestian oleh orang-orang kampung.
Seronoknya menyambut bulan puasa pada zaman remaja, memanglah sentiasa menjadi kenangan yang penuh makna. Sehari dua sebelum mula berpuasa, hampir semua rumah akan membuat lemang dan rendang daging atau ayam kampung. Selalunya, anak-anak yang tinggal berdekatan akan bersama emak dan ayah menyambut kedatangan bulan puasa. Bagi mereka yang mampu, diadakan kenduri arwah dan tahlil buat dihadiahkan kepada ibu-bapa serta saudara2 dan nenek moyang yang telah pergi dulu ke alam barzakh.
Rata-rata orang kampung akan ada yang berjualan daging lembu atau kerbau yang juga dipanggil " mamantai" atau "mantai". Dipondok sementara yang didirikan ditepi-tepi jalan dijadikan tempat menjual sembelihan itu. Arwah emak dan abah mulalah sibuk menyediakan bahan2 untuk membuat lemang, memasak rendang dan lain-lain lagi sebelum bulan ramadhan menjelang. Saya memang begitu seronok bila waktu-waktu begini datang semasa saya masih anak2 dan dizaman remaja malah sehingga sekarang.
Pada masa masih bersama arwah emak dan abah, sayalah yang menyediakan buluh, kayu serta "langai'an" atau tempat memasak lemang. Ada masanya arwah emak berhajat untuk membuat "penganan" atau dodol jadi saya juga akan menyediakan tempat serta tunku-tunku atau dapur untuk memasak dodol. Memang hari2 menjelang bulan puasa terlalu sibuk buat saya serta ahli keluarga yang lain. Maklumlah makan lemang dengan rendang bukanlah makanan yang senang didapati sekarang ini, dahulu kita harus menunggu waktu2 begini, sebelum puasa, sebelum raya dan pada hari raya haji. Jadi makanan yang akan disediakan oleh arwah emak dan abah memang terlalu istimewa buat kami adik beradik.
Pada malam hari2 sebelum mula puasa selalulah diadakan doa serta tahlil disurau selepas maghrib. Yang seronoknya malam hari bulan puasa sembayang terawih diadakan disurau dan juga masjid. Moreh atau makan2 yang diadakan selapas menunaikan solat terwaih menjadi kebiasaaan yang menjadi satu kemestian. Selalunya,kaum perempuan akan membawa makanan dan kueh-mueh didalam bekas "mangkuk tingkat"dan ada juga yang menjunjung dulang atau "panta" besar membawa juadah kesurau dan masjid untuk dijadikan hidangan selapas solat sunat terawih.

Inilah surau lama masa zaman dahulu bila malam hanya diterangi lampu gasolin. Mana ada bekalan api letrik pada zaman itu. Namun sekitar surau menjadi begitu meriah bila bulan puasa menjelang tiba, bukan hanya orang dewasa lelaki, perempuan malah anak2 juga remaja akan bersama pada tiap malam.

Ini kegiatan "mantai" atau menyembilih lembu untuk dijadikan juadah utama menyambut kedatangan "ramadhan al mubarak". Selain berjualan daging lembu atau kerbau segar ada juga diantara orang kampung yang berkongsi seekor lembu atau kerbau untuk disembilih dan dibahagikan sama rata diatara mereka. Ini dikenali atau dipanggil "mantai pelepah". Satu lagi tradisi perkongsian yang semakin pudar dan hilang dikalangan masyarakat kampung.
Diatas ini suasana "moreh" disurau-surau di kampung-kampung sekarang ini. Dahulu pun suasananya semacam ini juga. Cuma dulu tidak adalah khemah atau meja serta kerusi meja. Dulu hidang moreh, selalunya dinikmati di ruang luar mesjid atau surau, itu duduk bersila bagi jemaah lelaki dan bersimpuh untuk jemaah wanita. Makanan pun dalam dulang besar dan 'mangkuk tingkat" mana ada buffet2 macam sekarang.
Dulang seperti didalam gambar diatas amat besar gunanya dizaman dahulu, dimana lauk pauk atau hidangan kueh mueh disajikan didalam dulang. Kerana makanan hanya boleh dijamah selepas solat sunat terawih amat perlulah ditutup dengan tudung saji, seperti dibawah ini.
Inilah tudung saji yang digunakan untuk menutup dulang dan selalunya dibawa ke mesjid atau surau selepas solat maghrib lalu diletakan diruang luar mesjid atau surau dan hanya dibuka selepas selesai solat sunat terawih.
Dulu dulang yang penuh dengan hidangan istimewa seperti gulai2 tradisi juga kueh-mueh tradisi dibawa kemesjid atau surau dengan dijunjung diatas kepala berjalan kaki ke surau atau mesjid oleh kaum ibu. Bagi saya terkenang bagaimana arwah emak menjunjung hidangan ini untuk dibawa ke surau atau mesjid bagi dihidangkan kepada jemaah selepas sempurnanya ibadah solat sunat terawih. Inilah yang dinamakan jamuan "moreh". Inilah rupa sedeqah yang amat berharga pada zaman itu, maklumlah tidak seperti sekarang sedeqah dalam bentuk kewangan lebih popular, malah moreh yang diadakan di mesjid atau surau selalunya disediakan oleh ahli surau dan ada juga di taja oleh individu yang berkemampuan. Begitulah adatnya, sekali pantai berubah maka sekali pulalah zaman berubah. Namun kenangan bulan puasa dizaman selepas merdeka lebih terasa dihati kerana, walaupun penuh dengan kekurangan namun suasana sambutan begitu meriah. Kerjasama serta eratnya hubungan diantara jiran tetangga begitu terselah, baik dalam kerja bergotong royong lebih lagi dalam mengerjakan ibadah sesama masyarakat kampung.
Botol air pelbagai rasa seperti diatas amat popular dizaman dahulu, selalunya dijadikan air minuman untuk berbuka....itu saja yang kami ada dan mampu beli ketika itu.

Antara perkara yang seronok bila tiba bulan puasa ialah " pergi cangkung". Iaitu selepas selasai mengerjakan solat sunat terawih ada sahaja gerai atau warung2 sementara yang didirikan oleh orang orang kampung yang ada jiwa berniaga. Disinilah ada diantara orang kampung dan anak2 muda bersembang, melayan selera selepas seharian berpuasa. Selalunya "ABC" atau air batu campur menjadi jualan utama, kerang rebus, sotong bakar ketuk, rojak2 dan minuman panas seperti teh dan kopi. Malah suasana kampung menjadi begitu hidup dan meriah bila menjelang bulan Ramadhan al Mubarak.

2 comments:

nienaryonie said...

Assalamualaikum, boleh saya tahu lokasi surau lama tu dekat mana? Masih digunakan lagi atau tidak? Email saya dlm kadar segera di nienaryonie@gmail.com

AL BAKR ALATIFI said...

Maaf lambat jawab, Gula anau banyak terdapat di Kuala Pilah. Kalau anakanda ke K.Pilah dari Seremban, Kg Terachi, Bt Meraung, Tg Ipoh pun ada sepanjang jalan di gerai yg ada tu.
Kalau nak banyak pilihan lagi, pergi ke Juasseh ulu, atau pasir ambor hala jalan ke Bt Kikir atau bahau.
Wasallam,
Selamt Hari Raya