Friday, July 31, 2009

Pelita Minyak - Lampu Gasolin



Juga apa khabar kepada anda yang sudi menjengok atau yang sudi singgah dilaman celoteh saya ini.Bukan apa teringatnya saya akan masa masih anak2, kadang-kala menjadi ubat penenang jiwa. Lebih-lagi jika direnungkan keadaan hari ini seolah-olah masa yang berlalu begitu pantas.Ramai diantara kita merasakan masa tidak cukup bagi membuat sesuatu kerja, kerana dikejar masa. Tetapi benarkah begitu?

Sebenarnya masa waktu siang dan malam tetap seperti dulu malah tiada yang berubah. Masa 24 jam sehari itu tetap sama sebagaimana kejadian bumi sejak dulu lagi. Malam dan siang silih berganti tanpa henti, maka begitu jugalah masa yang tak pernah berhenti..terus berjalan. Hanya kita merasakan masa berlalu begitu cepat sekarang ini. Itulah kita manusia sentiasa dalam kelalaian lalu dijadikan masa alasan penyebab tak cukup masa.

Jam di dinding tetap berputar seperti biasa, jejari jarum jam tetap berjalan seperti yang direncanakan. Sebenarnya kita manusia hari ini, terlalu sibuk- siang dan malam. Mungkin disebabkan tuntutan tanggungjawab, bekerja lebih masa bagi mendapat ganjaran lebih buat menyara keluarga dan membayar bil2 juga pinjaman-pinjaman yang dibuat. Bukan apa, tuntutan masa yang panjang dalam melaksanakan tugas bagi menambah pendapatan. Jadi bukanlah masa telah menjadi pendek atau masa berlalu seperti kilat, cuma kita sebenarnya leka dalam memenuhi tuntutan kehidupan dunia... kerana keinginan mencari lebih sampai kita merasakan masa tidak cukup.

Dahulu di tahun2 awal merdeka, masa berjalan dirasakan begitu lambat. Pagi hari hingga menyampaikan ke petang terasa begitu lama. Sebenarnya zaman itu, tidak ada tarikan atau tuntutan tanggungjawab yang bukan-bukan. Tiada bil-bil yang perlu dibayar saban bulan, perbelanjaan untuk keluarga hanyalah sekadarnya sahaja. Tiada apa... yang perlu dirisaukan, malah tiada "tempat berhutang" tiada alat TV, radio atau lainnya perlu dibayar secara bulanan atau mingguan. Tiada bil letrik,bil talipon mana ada, bil air...paip air pun tidak ada. Saya masih lagi disekolah rendah diawal tahun 60'an.

Masih teringat dan kadang kala terbayang arwah emak mengumpulkan pelita minyak tanah bila petang atau senja mula menjelang.Selalu juga saya menolong arwah emak mengumpulkan pelita minyak tanah dan mengisikannya dengan minyak. Itu sajalah sumber cahaya yang menerangi rumah kami apabila malam. Pelita itu jugalah menjadi teman setia saya bila perlu saya mentalaah buku2 sekolah di waktu malam.


Inilah rupanya lampu pelita tanah yang ada pada zaman itu. Jenis yang dalam gambar sebelah ini dikira "standard" yang murah ialah yang dibuat daripada zink atau ayan, juga berkaki zink. Malah tabung minyaknya pun dibuat dari ayan atau zink. Pelita dalam gambar ini agak jenis yang ada kelas sikit dimana tempat minyak dibuat dari kaca, malah sumbunya boleh di selaraskan dengan alat pemutaran.
Kalau jenis yang murah, bila sumbu ingin diselaraskan jari jemari sudah pasti dilumuri minyak tanah.

Pelita jenis ini juga dinamakan "lampu stom" oleh orang kampong masa itu. Ini kerana balang kaca yang melindungi sumbu pelita dari padam oleh tiupan angin, maka kaca ini dipanggil "stom" jadilah nama nya lampu stom. Inilah jenis pelita minyak tanah yang selalu menerangi malam2 saya bila menelaah buku-buku sekolah.


Oleh kerana negara baru merdeka, ketiadaan api,letrik tidaklah menjadi satu kepayahan buat kami melalui kehidupan seharian ketika itu.Malah hampir semua kampong dalam negara tiada bekalan tenaga elektrik ketika itu. Sehingga habis zaman persekolah saya, bekalan tenaga letrik masih belum lagi ada, iatu sehingga sekitar awal 70'an.

Rumah arwah emak dan abah pada masa itu, ada masanya juga diterangi lampu gasolin. Ini lampu minyak tanah yang pam, atau mengunakan tekanan bagi menjana cahaya mentol kain. Selalunya, saya juga menolong arwah abah, menyiapkan minyak, spirit bahan bakar dan juga mancis untuk menyalakan lampu jenis ini. Selalunya hanyalah dinyalakan lebih kurang 3 jam sahaja dari senja hingga 9 malam. Arwah abah akan menutupnya dengan melepaskan tekanan angin.
Di sebelah ini ialah lampu gasolin yang menjana cahaya dari senja hingga jam 9 setiap malam.Selalu dipasang dengan digantung ditengah-tengah serambi rumah kami. Pada waktu ini, saya ambil kesempatan membaca buku dan membuat kerja sekolah jika ada, diruang serambi rumah bersama adik-adik yang lain.
Kerana pengunaan minyak tanah yang banyak, maka lampu gasolin akan dipadamkan awal-lebih kurang 3 jam selepas ia dinyalakan. Lampu minyak tanah seperti ini mestilah digantung tinggi agar limpahan cahaya lebih luas di segenap ruang serambi.
Bila ada majlis kenduri, lampu ini amat perlu maka bila ada kenduri dikalangan orang kampong, pinjam meminjam lampu gasolin menjadi satu kebiasaan. Maka lampu gasolin juga lambang kerjasama erat sesama masyarakat kampung ketika itu.

Jadi begitulah keadaan kehidupan saya dengan keluarga ketika itu, cahaya yang keluar dari sumbu pelita minyak tanah menjadi penerang malam - membantu saya dan adik2 menelaah buku2 sekolah. Hari ini kita amat beruntung " potik didinding menyalo dikepalo". Inilah kata-kata gurauan dan usikan diawal tahun dimana tenaga letrik mula disalurkan ke kampong kami. Hanya dengan memetik switch didinding, cahaya lampu kalimatang atau lampu "bulb" akan melimpahi cahaya.