Monday, July 13, 2009

Gulai Puyu Kulit Rambai

Dari semalam lagi, terkenang akan masakan arwah emak bila terbaca didada akhbar adanya sekarang ini pengusaha ternakan ikan puyu secara komersil. Tertanya-tanya, puyu yang macam mana agaknya yang diternak. Ada kata baka dari Siam -dari negeri Thailand, puyunya besar2,ada yang sampai 1/2 kilo seekor. Kalau macam tu... ikan puyu itu masak apa? Yang saya tahu ikan puyu tulangnya banyak, malah siripnya pun kalau silap pegang boleh luka tangan. Ada yang kata ikan puyu jenis ini seakan talapia besarnya, isi banyak dan tulangnya kurang. Tak tahulah saya apa punya ikan puyu ni?
Inilah rupanya buah rambai yang masih segar. Ramai anak2 sekarang tak tahu apa buahnya ini dan gunanya.Sebenarnya pokok rambai pun ramai orang tak kenal. Malah hampir pupus.Tetapi masih ada lagi diberberapa tempat di Negeri Sembilan. Kalau ada kesempatan lalu ke Kuala Pilah, masih kelihatan bergantungan digerai tepi jalan di Terachi dan Tg Ipoh.
Dulu masa kecil arwah emak,selalu masak ikan puyu yang dikeringkan dengan kulit rambai yang juga sudah dikeringkan. Memang tulangnya banyak sungguh, kalau tidak sabar bila makan nasi berlaukkan ikan puyu boleh tercekik ditusuk tulangnya.
Cara memakan mestilah perlahan-lahan dan penuh hati-hati,tetapi sedapnya gulai ikan puyu dengan kulit rambai kering tidak dapatlah nak saya bayangkan....memang sedap masak lemak cili api dengan kuahnya yang agak pekat, rasa kuah gulai ikan puyu dimasak dengan kulit rambai kering ....baunya pun boleh gocar..air liur. Dulu ikan puyu memang mudah ditemui didalam lopak-lopak sawah dan juga lubuk-lubuk tingalan tempat berkubang kerbau. Kalau selepas menuai, bila sawah mula dibajak dengan kerbau untuk dimulakan tanaman baru, selalu ikan-ikan seperti sembilang,keli, haruan, sebarau,lampan dan puyu telah pun besar pula. Buak-air dan sergahan sebarau yang melompat tinggi serta sambaran haruan didalam lubuk tinggalan kubang kerbau, menandakan banyaknya ikan disitu.
Bila ada kelapangan selalunya saya adik beradik dan arwah emak akan menimba, atau kering keringkan lubuk itu bagi memungut ikan2 didalamnya.
Ini ikan sebarau, juga sangat sedap jika dikeringkan dan nanti digulai dengan kulit rambai yang dikeringkan juga. Sudah tentulah dimasak lemak cili api. Sebarau yang hidup liar didalam anak sungai tentulah mempunyai rasa yang enak dan sedap jika dibandingkan dengan yang diternak. Bau hanyir akan hilang bila dikeringkan dan digulai dengan kulit buah rambai kering, yang ada rasa kemasaman.
Bila tiba musim sebarau melompat tinggi, menyambar serangga yang berterbangan, maka mulalah orang2 kampong mengeringkan "bonda", juga dikenali sebagai anak sungai yang meng-alirkan air kedalam lopak-lopak sawah. Maka orang-orang kampung setempat akan melepaskan empangan keladi bagi mengeringkan airnya. Selalunya bagai satu pesta yang ditunggu-tunggu,bila aliran air tidak lagi perlu dimasukan kedalam lopak lopak sawah. Lebih tepat lagi bila padi mula matang kuning ke'emasan dimana air sawah perlu dikeringkan.



Ini pula adalah ikan puyu sawah atau sungai yang sebenarnya. Besar lebih kurang dua atau tiga jari sahaja, memang sedap kalau dikeringkan dan digulai masak lemak cili api dengan ramuan seperti, hirisan gelugur basah,kulit rambai kering, buah belimbing buluh atau dengan hirisan buah bacang.
Menangkap ikan puyu bukannya kerja senang, sifat ikan puyu memang ganas dan ketahanan yang agak luar biasa jika dibandingkan dengan ikan2 lain.
Ikan puyu ada sengatnya, malah siripnya yang tajam dan sisiknya yang keras boleh luka tangan dan jari jika tidak pandai menangkapnya.



Inilah rupa dapur kayu tradisional yang digunakan orang2 kampung dulu-dulu....sekarang ini susah nak jumpa.
Satu lagi... dulu arwah emak kalau memasak gulai ikan lemak cili padi hanya mengunakan dapur kayu tradisonal. Dulu semua orang kampong pakai belanga ... belango..inilah sebenar masakan organik yang tulen.

Mana ada dapor gas atau elektrik, ini sahaja kami ada pada zaman itu. Tetapi rasa enak dan sedap gulainya tak dapatlah hendak digambarkan.
Itulah sebabnya sekarang banyak penyakit, kerana belanga tidak dipakai lagi. Kononnya leceh...maka digunalah, periuk kaca tahan ketuhar, periuk aluminum dan periuk tidak melekat yang dilaputi "teflon" punca segala penyakit.

















1 comment:

Sab 사브리 said...

1st time dengar ni.. tak pernah tahu lg sebelum ni kulit rambai kering dimasak gulai... kalau gulai batang pisang tu dah biasa di sebelah utara