Sunday, February 22, 2009

Buah Gelugor, Pucuk Gelugor


Kali ini saya mulakan coretan saya dengan kalimah diatas kepada semua saudara yang seagama dengan saya dan selamat sejahtera kepada mereka yang berlainan kepercayaan. Bukan apa agama saya mengajarkan memberi ucapan salam seperti diatas hukumnya sunat dan mereka yang beragama Islam wajib menjawabnya. Kepada yang bukan Islam, tak apa-apa.

Inilah yang saya hendak ceritakan hari ini, bertajuk buah gelugor pucuk gelugor. Kalau anda tengok gambar diatas yang sebelah kiri itu ialah pucuk gelugor yang telah dipotong halus seperti bunga rampai. Yang satu lagi itu ialah gambar buah gelugor yang masih muda.

Asam gelugor ini amatlah mustahak dalam hampir semua masakan melayu, kita juga selalu gunakan asam jawa. Pada tahun 60an dulu banyak sekali pokok gelugor dikawasan kampong, macam-macam gunanya, maklumlah kalau diNegeri Sembilan, asam gelugor begitu mustahak untuk digunakan dalam setiap masakan tradisi. Asam gelugor dan asam keping tu samalah, cuma bila buah gelugor masak setelah dihiris nipis dijemur maka dinamakan asam keping - hilang gelugornya. Sepatutnya jangan lah begitu, yang empunya asam itu ialah pokok gelugor.

Begitu jugalah kita hari ini, banyak orang lupa akan empunya sebenar sesuatu perkara itu. Ada juga disebabkan terlupa tetapi ada juga yang buat-buat lupa. Inilah yang berat...........

Arwah emak dulu ada pesan jangan sekali gulai tak ber-asam, kalau tidak nanti bukan gulai negeri namanya. Orang Negeri Sembilan memang terkenal dengan cara memasak ikan air tawar, sebut apa sahaja jenis ikan, sembilang, keli, haruan, sepat, limbat, baung, kelah, lampam, sebarau, patin, belida, tapah malah apa ikan pun kalau betul caranya,cukup asam-garamnya hilang bau hanyir.

Pucuk gelugor, hai... tergiur air liur bila sebut sahaja, itulah tak dapat nak digambarkan sedapnya bila ikan air tawar dimasak lemak cili api dicampur daun gelugor sebagai rencahnya.Lebih - lebih lagi ikan sembilang atau keli yang disalai..kalau digulai berencah pucuk gelugor yang diracik halus, tak terkata lah sedapnya. Rasa-pahit dan masam pucuk gelugor itulah yang membuatkan masak lemak cili arwah emak bukan main sedapnya. Walaupun arwah emak tidak ada lagi, saya masih bernasib baik , isteri saya juga orang Negeri Sembilan malah masakan negeri-nya tak kurang hebatnya.

Itulah kalau ada kesempatan balik kekampong, jika ada masa terluang saya akan mencari ramuan-ramuan tradisi ini. Sekarang ini, pucuk gelugor dan buah gelugor muda masih boleh didapati, itu pun kalau rajin menjenguk pasar-pasar tani disekitar Negeri Sembilan. Tetapi apa yang saya dapati pasar tani di Pekan Batu Kikir yang diadakan pada setiap pagi Ahad boleh dikatakan amat lengkap. Masih banyak sayuran serta ramuan masakan lama dijual dipasar tani ini, walupun kadang-kadang harganya agak tinggi sikit. Bagi saya tak apalah, kalau untung banyak pun orang kampong kita juga yang dapat, lagi pun kerja menghiris nipis dan memungut buah gelugor bukan senang.

Bagi kebanyakan kita buah gelugor yang yang dihiris nipis, dijemur dijadikan asam keping begitu biasa didapati dipasar atau pun dikedai-kedai runcit. Tetapi sebenarnya kalau buah gelugor muda dihiris, jika dibuat rencah gulai ikan air tawar atau ikan air masin pun amat sedap rasanya.

Tetapi sekarang untuk mendapat buah gelugor muda payah sedikit, kerana menjual asam gelugor keping lebih menguntungkan. Walau apa pun sedapnya gulai bukan sahaja air tangan seseorang tukang masak tetapi bila cukup rasa asam dan garamnya.



1 comment:

Adreena Garden said...

Saya suka baca cerita2 tuan.. Bagi org muda sperti sy.. sgt menarik...

Ayah sy berminat nk kenali tuan.. ble kunjungi kami di serisubuh.com