Inilah pokok buah bacang, cuba perhatikan betul-betul nanti nampaklah buahnya yang seakan-akan buah mangga atau kuini. Dulu-dulu buah bancang kata orang kampong tak sempat tua,kerana muda lagi dah diambil orang buah menjadi rencah gulai ikan air tawar. Pandainya orang lama, menjodohkan rencahan didalam apa juga gulai yang dimasak. Lebih-lebih lagi jika dimasak lemak cili api dengan ikan sembilang,puyu atau haruan. Ikan sembilang yang tidak disalai selalunya berbau hanyir, maka untuk menghilangkan bau hanyir emak akan memasaknya dengan racikan buah bacang muda dan sudah tentulah masak lemak cili api.
Begitulah kreatifnya orang dulu, malah kini ramai orang sekarang begitu mengemari masak lemak cili api dengan sembilang salai. Sedapnya tak boleh nak digambarkan, yang dah rasa tahulah. Dulu dulu, kami yang tinggal dikampung tak perlu risau tentang harga bahan-bahan makanan. Malah sayuran dan sumber lauk tidak menjadi kebimbangan buat saya dan keluarga. Emak memang pakar dalam apa juga jenis masakan kampung, yang sekarang ini terlalu sukar untuk dinikmati. Maklumlah sekarang ini orang telah terlebih moden, orang kampung pun pada namanya saja tinggal dikampung, pokok cili api tidak lagi ditanam jauh sekali pokok buah bacang malah serai pun dibeli dipasar tani. Tak tahulah saya kenapa jadi begitu, dulu kawasan kampung cuma berpagar buluh dan kawat duri bertiang kayu teras. Kerana tidak sempurnanya pagar keliling rumah, hampir setiap hari kami terpaksa menghalau kambing serta lembu keluar dari kawasan rumah. Tetapi kini kalau dikampung hampir semua kawasan rumah berpagar moden, bertembok batu, bertiang konkrit dengan jaringan "chain link" atau kawat mata punai yang tahan dan mahal. Sayangnya tiada apa yang ditanam didalam kepongan moden ini.
Jadi jika dibandingkan dahulu dengan sekarang, amat jauh bezanya suasana kampung, jadi tak heranlah banyak tanah terbiar, kampung penuh belukar dan semak samun. Hampir semua keperluan sayuran dan ramuan masakan dari batang serai, daun kunyit, pandan, cili api dan lain lagi hanya perlu dibeli sahaja. Ada juga yang membeli paku pakis dari pasar tani, amat mengherankan paku pakis tumbuh meliar ditepian sungai dengan suburnya, hanya perlu dipungut sahaja- itupun tak lagi diminati oleh orang kampung. Beli lagi senang, tak payah susah-susah pergi pungut. Pasar tani melambak orang menjual. Lebih-lebih pun seikat RM1.
Maka pada hari ini bila harga minyak petrol meningkat dengan banyaknya, ramai yang panik, mulalah berkira-kira nak cari jalan untuk berjimat. Jika dibuat perbandingan tahun enam puluhan harga petrol mahal juga sebenarnya, dulu mana ada Petronas. Tak termimpi nak bekereta langsung, tetapi pengakutan awam begitu efektif. Dikampung saya ketika itu ada tiga kompeni bas yang memberi perkhidmatan, Union Bas, Bas Melayu Trading juga Bas Lim. Jadual perjalanan sangat tepat, tambang amat murah - sepuluh sen pun boleh naik bas. Lagi kalau nak beli kereta sendiri mana mampu kerana semua kereta semuanya diimpot sepenuhnya.
Tak ada pun masaalah krisis minyak, mungkin tak ramai orang yang mampu membeli ketika itu. Berbalik kepada sedapnya gulai ikan sembilang dengan bacang muda masak lemak cili api, buah bacang taklah semudah itu didapati sekarang. Ramai orang sekarang tak tahu lagi resepi sebenar masakan ini. Masakan kampung melayu lama ini, telah menjadi masakan istimewa untuk majlis majlis tertentu pada hari ini. Malah hidangan ini amat sukar ditemui di restoren-restoren kalau ada pun mungkin disekitar Kuala Pilah,Jempol dan Kuala Klawang juga mungkin ada di kawasan Ampangan Seremban. Tetapi masakan asli lemak cili padi yang ada itupun mungkin tak se- asli masakan emak dan orang lama. Kalau yang tahu pun uwan dan nenek dikampung-kampung. Kerana yang direstoren pun masak lemak cili padi dah di ubah suai. Ade.. ke masak lemak cili padi dicampur bawang merah dan bawang putih. Kalau arwah abah masih ada, mungkin termuntah dia memakannya kerana menjadi tidak sedap dan maung rasanya. Jadi jangan sesekali nak tiru cara orang negeri masak lemak cili padi. Ada lagi rahsianya sedapnya gulai sembilang bacang muda.
1 comment:
asskum....gulai bacang memang aku punya favourite termasuk lauk lauk kampung seperti gulai jantung pisang, gulai pucuk ubi, gulai nenas ikan sepat, gulai pisang muda semuo ni kalau masak lomak cili api memang sodap...kena makan dengan ikan masin memang bertambahnyo laa...pehhh teringat pulak kalau balik kampung nanti nak suruh omak den masak gulai kampung.
ok broo...thx..salam!
Post a Comment