Thursday, May 1, 2008

PADI BERAT PADI RINGAN

Dulu pada awal pasca kemerdekaan, tiada teknoloji tiada kemudahan mahu pun pasarana buat bertani disawah juga berkebun didarat. Cuma tulang empat kerat dengan semangat serta kekuatan jiwa sahajalah yang menjadikan tanah sawah menghijau saujana mata memandang juga kebun getah ditoreh cermat.

Abah dan emak menjadikan sawah agar nanti anak-anak akan terus dapat dihidangkan nasi. Lauk apa yang akan dihidangkan dengan nasi itu tidaklah penting sangat. Emak tahulah nanti bagaikan, dengan gulai ikan sawah atau dengan ikan masin takuk atau dengan goring pucuk keledek atau ubi. Adakala dengan gulai lemak labu, gulai pisang kolek abu atau mungkin pucuk paku yang banyak melata tumbuh ditepian bondar.

Jadi taklah menjadi kerisauan tentang apa yang akan ditanak, kerana tiada tanda harga yang perlu diteliti sebelum membeli. Tiada rungutan harga beras naik atau turun ketika itu. Cuma mereka yang mendapat tuai-an lebih, dengan jumlah padi dikepok penuh sehingga ke julujur atap dikira mendapat rezeki lebih pada musim kesawah kali ini. Ramai lah nanti orang kampong bayar zakat berupa bijian padi bila cukup syarat wajibnya.

Benih padi yang disemai dikenali dengan padi berat, kata emak berasnya lebih berat dan padat. Cepat kenyang ditambah pula ada serat yang tinggi. Ini kerana pada masa itu tiada pilihan mungkin, kerana tiada beras dijual dikedai. Orang kampong begitu tekun menjadikan sawah musim demi musim. Kehidupan masyarakat begitu harmoni. Bila tiba musim kesawah, semuanya bersama membaiki talian air kesawah. Bersama memagar, memancah keliling dan empangan keladi mulalah dibina. Sejenis cangkul yang kenali sebagai “rembeh” digunakan buat menyediakan lopak padi sebelum tiba musim “mengubah”. Mengubah hanya dibuat bila, lopak-lopak telah cukup sedia untuk ditanam dengan padi. Mengubah, iaitu mengalih atau menanam anak semaian padi keatas lopak lopak sawah. Musim mengubah amat meriah, waktu inilah orang kampong “ mengseraya” atau bergotong royong, mengubah benih padi keatas lopak yang tersedia.
Maka berjambur “berjamulah” tuan tanah pada hari itu jika gilirannya lopak sawahnya untuk di tanam semaian anak padi.
Jambur yang dihidangkan amat tradisi sifatnya, tiada yang mewah-mewah Cuma ada pengat-pengat atau bubur dari kacang hijau atau merah, pengat pisang atau ubi. Adakalanya dijamburkan dengan pulut kukus dengan sambal petai dengan air kopi. Maka kedengaran hilai tawa yang dewasa dan anak-anak sambil menikmati jambur yang tersedia setelah selesai” mengseraya” kerja mengubah anak semaian padi. Begitulah indahnya suasana kampong diwaktu era awalan pasca merdeka.

Padi berat yang ditanam, mempunyai kebaikan yang lebih, kerana ditanam secara organic, tiada baja, tiada racun serangga, biji beras lebih besar. Tetapi tampak masih keperangan, maklumlah untuk dijadikan beras padi ditumbuk dengan lesung tangan atau kaki. Kami sekeluarga memiliki sepasung lesung kaki yang dibuat dari batang nangka.

Tiada kerisauan tentang naik turunnya harga beras, hampir semua keluarga mempunyai tanah sawah yang dikerjakan buat menghasikan beras untuk makanan keluarga dan ramainya orang kampong berzakat padi ketika itu dari lebihan hasil yang dituai.

Padi berat hanya ditanam sekali dalam setahun sahaja. Walau boleh ditanam dua kali, sifat tidak tamak itulah yang membuatkan hasil titik peluk raayat begitu berkat. Biarlah masa tiada padi, bebas buat kerbau berkubang, biar si-ikan putih, sembilang, lampan , puyu dan sebarau berisi badan. Nanti boleh dibuat lauk bila tiba musim kesawah yang akan datang.

Pada awal 70an ditemui melalui kajian jenis beras baru, beras Malinja, padi ringan begitulah yang panggil orang kampong. Ramai orang kampong yang agak keberatan menerima perubahan, kerana raayat digalakan menanam padi dua musim setahun. Seolah orang kampong lebih tahu kenapa, mungkin agaknya mereka tidak mahu, rezeki yang diberi tuhan bukan milik mereka sahaja. Bagaimana dengan kerbau, sibangau dan wak-wak, begitu juga sembilang, haruan, putih dan puyu. Kalau nanti sawah terus dikerjakan hampir sepanjang tahun. Fahamnya mereka tentang ecoloji “ tentang eko-sistem yang akan terganggu, Cuma dimasa itu tiada yang tahu istilah itu. Tetapi raayat yang telah begitu dekat dengan alam amat mengerti, melalui naluri dan isi-hati.

No comments: